Pelancaran Kelab Ke-2:
Kelab Sahabat Rockers
KELAB SAHABAT ROCKERS ditubuhkan hasil daripada cetusan idea dua sahabat yang telah lama memperjuangkan muzik genre rock sejak zaman kebangkitan muzik genre rock dari zaman 80an dan 90an. Dua sahabat tersebut adalah saudara Abdul Wahab Zainudin atau lebih dikenali sebagai Wom penyanyi dari kumpulan rock UG14 yang amat terkenal dengan lagu hit nya “Bunga Larangan” dan “Sempadan Sempurna” dengan saudara Ahmad Radzi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai BobRadzi yang pernah menyertai beberapa band rock sebagai pemuzik pada zaman kebangkitan genre muzik rock suatu ketika dahulu.
Secara ringkasnya, era 80an dan 90an merupakan era di mana Muzik Rock Malaysia berkembang menjadi fenomena gaya hidup orang muda ketika itu. Pengaruhnya bukan sahaja dalam soal berpakaian malah ucapan dan gaya bahasa juga berkembang dan mencair dalam budaya baru masyarakat kita. Ayat-ayat “Gua..Lu..Brader” manjadikan pengamal bahasa “sopan santun pening kepala”. Tetapi inilah hakikatnya budaya berkembang bukan menurut kehendak pengusaha atau institusi sebaliknya ia berkembang sesuai dengan citarasa yang pelbagai di samping faktor ekonomi di sebaliknya.
Ketika itu, beratus nama band anak muda ditubuhkan seperti SYJ@Sofea, May, Lefthanded, Search, Wings dan banyak lagi kalau hendak dinyatakan. Di sana-sini anak muda sibuk dengan “Battle of The Bands”, fun-fair di kampong dan pekan, studio jamming juga bercambak. Kelab-kelab malam juga pada waktu itu menggajikan kebanyakan band-band rock untuk membuat persembahan di kelab-kelab mereka. Bukan itu sahaja, syarikat-syarikat rakaman juga tumbuh bak cendawan tumbuh setelah hujan. Fenomena ini telah menghidupkan suasana budaya yang serba mewah dan meriah walaupun pada hakikatnya adakalanya hanya indah di mata di hati tiada siapa yang tahu.
Namun apabila kemeriahan ini mencapai kemuncaknya, politikus melihat ini sebagai gangguan ke atas hagemoni kuasa politiknya. Maka terciptalah pelbagai persepsi buruk yang melingkari dunia “glamour” seniman rock. Kenyataan-kenyataan provokasi kepada seniman-seniman rock seperti “budaya kuning”, “kaki arak dan dadah”, “rambut panjang dan selekeh”, “punca keruntuhan moral” telah ditempekkan ke atas seniman-seniman rock dan para peminat budaya “rock n roll” ini.
Episod malang ini, telah menjadikan kemeriahah budaya muzik rock ini menjadi igauan ngeri kepada industri muzik tanahair sendiri dimana mutu dan jumlah produk muzik rock menurun baik pengeluarannya mahupun keuntungannya. Budaya muzik rock dilihat sebagai musuh masyarakat di Malaysia. Seniman-seniman rock pada masa itu telah dilabel sebagai punca segala permasalahan sosial pada waktu itu.
Cetusan Idea penubuhan “Kelab Sahabat Rockers” adalah simbolik dari keutuhan jalinan persahabatan di kalangan artis-artis rock waktu memperjuangkan muzik genre rock pada zaman kegemilangan genre muzik rock. Walaupun disekat dengan pelbagai cara namum perjuangan tetap diteruskan sehingga semuanya hilang dalam perjuangan akibat pelbagai faktor yang tidak dapat dielakan. Dengan semangat ini saudara Wom bersama dengan saudara Bobradzi menubuhkan kelab ini dengan harapan agar persabahatan dan perjuangan yang telah lama hilang akan dapat disatukan kembali dalam satu kelab.
Pada masa ini, kita telah melihat ramai artis-artis rock 80an dan 90an membuat penampilan semula sama ada berseorangan atau berkumpulan. Malah Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan terang menyokong dan menerbitkan rancangan Rockers Apa Khabar di mana kalau tidak silap kami akan ditayangkan pada Jun 2015. Penampilan semula ini dengan semangat yang baru telah memberi semangat kepada dua orang sahabat ini untuk menubuhkan “Kelab Sahabat Rockers”.
Misi penubuhan “Kelab Sahabat Rockers” adalah untuk mengumpulkan artis-artis dan pemuzik-pemuzik rock zaman 80an dan 90an serta artis-artis rock zaman kini untuk bergabung di bawah satu kelab di mana ianya akan memberikan manfaat kepada artis-artis itu sendiri untuk berkarya. Penubuhan ini juga adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli-ahli dari semua segi dan memberi penjelasan yang jelas bahawa muzik rock bukan punca segala permasalahan sosial tapi sebagai salah satu cabang seni yang dapat memupuk keharmonian dan memberi tauladan dan kesedaran melalui lagu-lagu baru genre rock yang bakal di terbitkan oleh kelab sendiri…Inshaa Allah.
“Sahabat Rockers” juga tidak keberatan untuk bergabung dengan mana-mana Badan-Badan Berkanun (Kerajaan) dan NGO yang lain dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan dan rekreasi dalam merealisasikan kehidupan masyarakat yang harmoni.
Kami menyeru rakan-rakan kami agar bersama dan menyokong kami dalam usaha penubuhan ini agar matlamat dan misi tercapai dengan jayanya…Inshaa Allah.
Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong usaha kami.
~ Kelab Sahabat Rockers.
20/4/2015